Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Februari. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke NBD, Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak.
Majlis diadakan secara berasingan di Bangunan Dewan Majlis pagi tadi.
Semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook telah merakamkan ucapan tahniah atas keanggotaan MMN dalam Inter-Parliamentary Union (IPU).
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala antara NBD dan Republik Korea, termasuk di peringkat parlimen.
Perbincangan juga termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan. Kedua-dua pihak turut menyentuh isu-isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama dengan penekanan terhadap peranan diplomasi dalam hubungan antara negara.
Sementara itu, semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak, perbincangan menyentuh hubungan baik yang telah terjalin lama antara NBD dan Republik Demokratik Rakyat Lao, khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hubungan di peringkat parlimen dan perluasan pertukaran kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke NBD turut menyatakan hasrat bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Hadir bersama semasa kunjungan-kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.